Kau tersenyum hari ini. Mungkin kerana bulan malam ini cerah. Ia mengambang menyisir tepi rambut awan yang menggerbang. Menyerlahkan wajahnya yang berseri.
Gembirakah kau melihatnya, Natasha?
Kalau kau gembira, aku juga mahu gembira. Tidak salah aku menumpang, bulan ini juga yang kita tatap bersama setiap malam. Cuma kita terpisah angkara ruang dan dimensi.
Natasha, senyumanmu tak pernah mengecewakan. Sudah lebih sedekad aku memujanya. Kemanisannya menggulung ombak dalam hati. Kacau-bilau, porak-peranda, kelu-renjana.
Aku tak pernah mampu bercakap normal bila di hadapanmu. Terketar-ketar. Kau perasan dan kau hanya akan tergelak kecil melihatnya. Maafkan aku, Natasha.
Sarafku menggelinjang bila berdekatan kau, apatah lagi berhadapan. Bertahun-tahun aku menyimpan keberanian untuk meluahkan rasa hati. Bertahun-tahun. Akhirnya pada hari itu, aku punya cukup keberanian untuk memberitahumu, bahawa kau adalah makhluk tercantik pernah dirakam bola mataku.
Pembantu kedai 24 jam itu menjadi saksi, aku termenung lama waktu memilih coklat untuk dihadiahkan kepadamu. Aku menolak untuk memberimu bunga. Ia terlalu klise. Cinta kita tidsk klise.
Aku kagumkan endorfin pada coklat. Ia tidak palsu seperti kafein yang mendahulukan tenaga juga jaga apabila kau memerlukannya, tapi selepas ia hilang kau akan terduduk kepenatan. Endorfin memangkin rasa gembira dalam jiwa. Aku mahu jadi endorfin buat kau, selama-lamanya. Tak akan pernah aku izinkan tindak-tandukku membuatkan jiwa kau resah serta gulana.
Coklat sudah berada dalam genggaman. Kurang 50 langkah lagi, aku akan sampai di muka pejabatmu. Bersedia menghadiahkanmu sepetak coklat sambil mengumpul sebulat tekad. Aku akan luahkan cintaku padamu, wahai Natasha.
Aku fikir ketika itu, tidak akan ada daya yang mampu menghalangku dari memohon izin untuk memiliki hatimu. Ternyata akalku tidak mampu menaakul takdir Yang Esa.
Aku tidak sempat memandang dari mana datang bunyi dentuman tembakan itu. Peluru menembus dadaku. Darah terburai. Aku hilang kawalan atas seluruh anggota. Tanganku melepas genggaman pada sepetak coklat. Ia jatuh lalu terpatah.
Aku masih mendengar kekecohan diselang bunyi bingit dalam telinga. Jeritan bersahut-sahut. Lelaki itu kaget digari polis. Niatnya mungkin hanya mahu merompak dan mendapat wang segera, namun tembakannya tersasar menembus jantungku.
Aku tak akan lupa hari itu. Hari yang bermula dengan cahaya cerlang namun ditutup dengan kegelapan abadi.
Kau tahu semangatku Natasha. Aku tidak akan putus asa hanya kerana jasadku sudah kaku di dalam tanah. Semangatku terus berkeliaran bagi menunaikan kemahuan ku yang terakhir.
Aku hanya mahu bersamamu. Walau aku kini hanya roh tidak bertubuh, aku akan terus menunggumu.
Di bumbung bangunan ini aku setia bertenggek melihat kelibatmu setiap hari. Waktu kau memandang bulan, aku turut memandangnya.
Aku doakan rohmu cepat terpisah dari badan. Aku akan menjemputmu masuk ke dimensi ini, kita bersama menyemai cinta yang tertangguh sekian lama.
Segala yang tertunda kita laksana bersama-sama. Aku sangat ingin berbual denganmu tentang hal-hal yang rambang. Mungkin muzik, atau masakan, atau gosip murahan para pemuka seni. Aku sanggup mendengar bebelan panjangmu sambil menyeduh teh Cina dari cangkir klasik sebuah kafe mahal.
Pulanglah ke pangkuanku, Natasha. Jemput masuk ke alam ini. Kita bersama merenung bulan setiap malam, berdua hanyut dalam kelamnya.
*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 18 Oktober 2019
Comments