Mengatup pelupuk aku terangguk-angguk Matt Bellamy meratib lirik mahu sekarang! Mahu sekarang!
Mereka berapi-api peluh di dahi mengalir lalu menitik di tebing kening angkat suara! Galas amanah! Kita junjung tanggungjawab bersama!
Dahi dikerut jari digenggam lengan diangkat ke udara Hidup! Hidup!
Aku masih membeku dalam selinap menonton persembahan ucapan manusia malang yang tertipu dibawa masuk ke kandang lembu.
Mereka berhaba di dalam selimut kedamaian palsu sambil mengunyah pakej-pakej penipuan yang mengikat mereka kepada ketamakan di dalam Rumah Matahari Terbit di New Orleans.
Wiji, Matt dan Eric Burdon memberitahu aku ini tapi mereka tak akan percaya kerana Alegori Gua aku akan dicerca dan dinafi percaya.
Mereka fikir dengan memenang undi mereka menjadi Malcolm X atau Martin Luther yang India berangan Gandhi yang Cina perasan Joshua Wong yang Melayu fikir diri Anwar Ibrahim.
Mereka lupa keingkaran awam tiada kultus revolusi jalanan tiada kultus untuk menjadi hebat tak perlu kultus.
Yang punya kultus para ekstremis agama para pentaksub penipu dan pengikut dewa palsu.
Kultus ini merasuk mereka mata hitam hilang bersama kewarasan melayang hilang dari genggaman.
Kultus ini melekakan mereka dari perjalanan mencari veritas mereka terlebih dahulu tewas.
Kultus ini membodohkan mereka memberi dadah yang melembam menjadi kuda padi di PD.
Ini kultus bogus wujudnya setahun sekali.
Ini kultus bogus ia bagai sugar daddy.
Ini kultus bogus kandungannya penuh ilusi.
Ini kultus bogus ahlinya tak kenal diri.
Ini kultus bogus bukan untuk pemimpi.
Ini kultus bogus tempat mereka menjual janji.
Aku simpati.
Kampung Semarak, 021016.
Comments