Salah satu lagu kegemaran ramai untuk menjadi juara AJL34, Anta Permana ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.
Lagu ini sangat unik dan segar, menjadikan ia berpotensi besar untuk mendapat tempat dalam AJL kali ini.
Admin mulakan ulasan tentang liriknya terlebih dahulu.
Tarikan utama lirik ini adalah pada istilah yang diangkat sebagai tajuk lagu ini, Anta Permana.
Jika dirujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), anta mempunyai dua maksud. Pertama, anta yang dipinjam dari bahasa Arab, bermaksud kamu. Kedua, anta dari istilah sastera lama yang bermaksud sifat atau keadaan. Untuk lirik ini, admin fikir anta kedua yang digunakan.
Manakala untuk kata permana pula, ia bermaksud banyak. Selama admin membaca beberapa buku hikayat yang menggunakan bahasa Melayu klasik, jarang sebenarnya nak jumpa perkataan permana ni. Biasanya ia hadir dalam bentuk kata terbitan, terpermanai.
Lagu ini berjaya buat orang ramai buka semula kamus. Ia sesuatu yang baik. Kalau arwah Loloq dulu, kamus pun tidak cukup untuk mendefinisikan perkataan-perkataan yang dia gunakan. Kontroversi perkataan ‘syuga’ dulu contohnya, arwah suruh buang je Kamus Dewan. Haha
Berbalik kepada lirik lagu ini. Walaupun menarik kerana menggunakan istilah langka, namun ia belum cukup baik. Lirik ini agak ringan dari segi makna walaupun ia ada potensi untuk menjadi berat.
Apabila admin teliti, ia tidak lebih sekadar menceritakan kisah cinta antara pasangan. Tentang cinta yang mendalam, gaduh yang kadang-kadang. Ia tidak cukup berat dengan makna. Emosi yang dibawa pun sekadar permukaan, tidak digali dalam.
Baris “biarkan cinta anta permana” itu kuat sebenarnya, namun ia tidak diteroka dengan baik. Bayangkan kalau kisah cinta antara pasangan ini digarap menjadi cinta antara manusia dengan membawa mesej keamanan dan antidiskriminasi, ia pasti lebih menarik.
Ini kerana baris itu bermaksud biarkan cinta itu sifatnya banyak hingga tidak terkira. Ia boleh jadi galakan untuk kita cinta dan kasih pada semua orang di sekeliling kita. Ini yang dilakukan kumpulan Queen dan David Bowie dalam lirik Under Pressure. Mengajak orang menjadikan cinta sebagai penawar kepada masalah peperangan dan diskriminasi.
Potensi istilah anta permana itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam lagu ini. Sayang.
Ia juga tidak menyambung legasi lirik Jampi dan Haram yang berjaya mengetengahkan perspektif unik untuk topik yang klise.
Kedua-dua lagu ini membawa topik yang klise namun pendekatannya unik. Ia menggunakan istilah berkonotasi negatif dan menjadikan ia positif. Jampi dan haram adalah istilah negatif, namun dalam kisah lagu itu ia menjadi indah dan menyenangkan.
Namun, kekuatan lagu ini ada pada lagunya. Ia sangat segar. Sebuah fusion antara bunyi klasik dan melodi moden yang smooth.
Boleh jadi, dengan kekuatan ini sahaja Anta Permana sudah boleh bergelar juara.
Hael dan Ezra sangat bijak menyeimbangkan elemen klasik dengan moden. Kalau lagu ini secawan kopi susu, ia kopi susu yang sempurna. Tidak terlalu pahit dan tidak terlalu berlemak.
Maaflah, admin tak boleh nak komen banyak dari segi lagu kerana tak cukup ilmu. Bab lirik bolehlah, sebab admin pelajar bahasa. Tapi lagu ini memang kuat dari segi melodinya.
Untuk peluang lagu ini mendapat tempat, admin fikir ia sangat cerah. Tambahan lagi, corak pemilihan Juara Lagu dalam beberapa tahun ini menitikberatkan nilai komersial dan keunikan lagu. Jadi memang ada peluanglah Hael dan Ezra bikin hatrik.
Anda fikir bagaimana?
*Disiarkan di Facebook Weyh Media pada 26 Januari 2020
Commenti